SEMBUR RACUN PEROSAK PADA BATAS
26 Februari 2018 (Isnin)
Kami meneruskan aktiviti menggembur tanah pada batas. Ketulan tanah dihancurkan sebelum kami meletakkan racun serangga pada batas.
Racun serangga yang digunakan ialah racun Malathion. Racun ini digunakan bagi mengawal serangga perosak pada batas seperti semut yang akan memakan biji benih. Lantaran itu, sekeliling batas hendaklah disemburkan dengan racun ini. Sukatan racun ini dibuat dengan mengambil satu penutup racun dan kemudiannya dibancuhkan dengan air biasa (air paip) pada botol sembur yang kecil. Batas digemburkan semula untuk memastikan racun ini digaul sebati dengan tanah.
Kemudian, tanah pada batas diratakan dengan ketinggian yang sama sebelum disiram dengan air.
Puan Salina dan Encik Abang telah meminta kami untuk membantu mereka melakukan tanaman hidroponik dengan menggunakan lebihan pokok daripada program STEAM yang lepas. Mereka telah menunjukkan cara-cara bagi tanaman hidroponik sebelum kami diarahkan untuk meneruskan kerja yang diminta. Langkah kerja yang pertama, kami perlu memasukkan 4 keping kapas pada lubang pasu kecil.
Kemudian, pokok dikeluarkan dari tanah dengan cermat supaya akar pokok tidak terputus. Akar pokok dibersihkan dengan air untuk membuang kotoran tanah.
Setelah itu, buat lubang pada bahagian tengah-tengah pasu kecil sebelum pokok dimasukkan pada bahagian tersebut dan sekeliling pokok disumbatkan dengan kapas supaya pokok dalam kedudukan tegak.
Pasu kecil diletakkan pada bekas yang mengandungi air. Kapas yang terjuntai pada pasu dipastikan terkena air.